Zahid yakin Pota dapat sokongan MP PR – Nasional – Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin lepas, mendapat sokongan ahli Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.

Beliau berkata, menerusi akta itu, tiada kuasa eksekutif daripada menteri untuk membuat penahanan, sebaliknya kuasa diberikan sepenuhnya kepada Lembaga Pencegahan Keganasan.

“Kuasa diberikan kepada Lembaga Pencegahan Keganasan. Kalau mereka (yang ditahan) tidak setuju dengan penahanan berkenaan, mereka boleh lakukan penyemakan kehakiman di mana ada sebuah Lembaga Penasihat yang akan melihat kepada keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan pada awalnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Humanitarian Care Malaysia (Mycare) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad Zahid berkata, jika ada penolakan terhadap akta itu, mungkin hanya melibatkan pihak aktivis dan peguam hak asasi manusia.

“Pertikaian mungkin mengenai hak asasi manusia yang paling minimum yang boleh diterjemahkan dalam Pota tetapi saya memberi keyakinan bahawa kuasa Menteri telah ditiadakan dan tiada kuasa eksekutif menteri untuk melakukan penahanan,” katanya.

Rang Undang-Undang Pota 2015 dibentang di Dewan Rakyat Isnin lepas yang antara lain termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas ‘kepercayaan politik atau aktiviti politik’.

Rang Undang-Undang itu yang dibentangkan Ahmad Zahid menjelaskan ‘kepercayaan politik atau aktiviti politik’ ertinya penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat mengikut rukun sesuatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan media asing tidak perlu pertikaikan tindakan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia berhubung penahanan lima kakitangan portal berita The Malaysian Insider (TMI) dan The Edge dan seharusnya menghormati acuan dan landskap suasana yang berbeza di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan media asing yang mempertikaikan penahanan itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau memberikan sepenuh kepercayaan kepada polis dari segi pengoperasian untuk melakukan soal siasat.

“Saya yakin tindakan yang dilakukan itu berpandu pada akta sedia ada dan bidang kuasa yang ada di bawah mereka (polis). Polis mempunyai tanggungjawab untuk terjemah SOP yang ada pada mereka dan tidak ada di bawah pentadbiran saya iaitu Kementerian Dalam Negeri berunsur arahan politik terhadap sebarang penahanan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata tidak mustahil laporan polis dibuat dan tindakan diambil apabila mengesan laporan atau berita berdasarkan fakta yang tidak berpijak dan tidak bersumberkan daripada maklumat sebenar apatah lagi jika ia menimbulkan permasalahan kredibiliti majlis terpenting di Malaysia.

“Harus diketahui bahawa mereka ini (kakitangan) bukan ditahan dan dipenjara sebaliknya hanya disoal siasat untuk polis peroleh maklumat tentang berita yang dikatakan tidak benar,” katanya.

Isnin lalu, tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan untuk siasatan berhubung laporan berita yang pendakwa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan pelaksanaan hudud.

Pada Selasa, seorang lagi kakitangan portal berita itu dan seorang pengarah kumpulan media ditahan berkaitan kes sama. Kelima-lima mereka telah dibebaskan.

Pada 26 Mac, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pihak majlis telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers, di sini bagi menegaskan apa yang disiarkan dan diterbitkan oleh portal itu adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pejabat majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Mycare dilancarkan sebagai usaha memperkasakan misi-misi kemanusiaan serantau dengan gabungan enam NGO iaitu Aqsa Syarif, i4Syria, Salam Iraq, Rose2Rose, Nusantara Care (Nice) dan Palestine Centre of Excellence (Pace). – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/zahid-yakin-pota-dapat-sokongan-mp-pr-1.375553

Leave a comment

Filed under Isu Semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s