24 MAC: Sejumlah 71 individu telah ditahan sehingga kini kerana didapati terlibat dengan aktiviti keganasan Kumpulan Militan Negara Islam (IS) di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kerajaan telah mengenalpasti IS sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
“Ia benar-benar telah berlaku di negara ini dan sedang berlaku dalam negara kita” katanya.
Tambahnya, ideologi IS yang ekstrim dan radikal tidak sesuai dengan amalan keharmonian dan perpaduan berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Malah IS menyebarkan Jihad yang terpesong daripada ajaran sebenar Islam,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Titah Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat, Selasa.
“Mengikut pecahan 24 orang telah didakwa dibawah Akta Keselamatan Langkah-langkah Khas, 6 orang dikenakan Perintah Pencegahan jenayah Khas, 20 telah dibebaskan, 17 diusir keluar dan 4 masih dalam siasatan polis.
“Kerajaan juga akan memperkasa undang-undang sedia ada dan akan membentangkan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) dalam sesi Sidang Dewan Rakyat kali ini,” katanya lagi.
Jelas Zahid mana-mana warga asing yang didapati terlibat dengan IS akan diusir setelah ditahan untuk siasatan di negara ini.
Zahid juga menegaskan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah dibuat bagi memantau kegiatan pengganas di media sosial.
Manakala dengan Jabatan Imigresen, KDN menggunakan ‘advance pasengers screening’ bagi memastikan tiada sesiapa yang boleh bolos di sempadan negara.
KDN juga telah mengenal pasti dua rakyat Malaysia yang menjadi pengebom berani mati iaitu Ahmad Effendi Abdul Manaf di Syria dan Ahmad Tarmimi Maliki 24 tahun di Iraq.