PDRM dan universiti jalin kerjasama bendung penglibatan penuntut dalam IS – Ahmad Zahid | Astro Awani

Bernama | Kemas kini: Mac 20, 2015
(Diterbitkan pada: Mac 20, 2015 08:00 MYT)

PDRM dan universiti jalin kerjasama bendung penglibatan penuntut dalam IS - Ahmad ZahidAHMAD ZAHID: PDRM dan universiti jalin kerjasama bendung penglibatan penuntut dalam IS – Gambar fail





TAIPING: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti awam dan swasta melakukan pemantauan bagi membendung penuntut menyertai dan menyokong kumpulan militan IS terutama menerusi media sosial.

Beliau berkata PDRM melalui Unit Anti Keganasan Cawangan Khas sentiasa melakukan pemantauan bagi membendung penglibatan pelajar universiti awam dan swasta di negara ini daripada menyertai dan menyokong kumpulan militan berkenaan.

“Pemantauan ini bukan sahaja dilakukan di universiti awam dan swasta, tetapi juga terhadap individu dan organisasi kerana terdapat kumpulan militan tertentu yang cuba merekrut dan membuat penyaluran dana kepada pengganas dan bakal pengganas yang dilatih untuk kumpulan mereka (IS) di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penglibatan penuntut universiti di negara ini dalam kumpulan militan.

Ahmad Zahid baru-baru ini, melaporkan sehingga kini, 100 rakyat Malaysia disahkan ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan dan angka itu tidak termasuk 61 rakyat Malaysia yang dikesan berada di Syria dan Iraq serta 10 orang yang telah terbunuh.

Katanya, beliau akan membentangkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 di Parlimen bagi melakukan usaha penambahbaikan dari segi pemantauan.

Mengulas mengenai kemelut yang dihadapi parti MIC, Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) atau pemimpin utama Barisan Nasional (BN) tidak campur tangan mengenai keputusan parti itu untuk memilih anggota barisan kepimpinan dalam MIC.

Beliau berkata pemilihan semula di semua peringkat dalam parti itu yang merupakan arahan RoS dan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah usaha untuk melihat krisis MIC berakhir pada Jun ini.

“Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal pertubuhan, yang mana RoS juga di bawah tanggungjawab saya. Saya akan memastikan tiada campur tangan RoS dan juga pihak lain yang cuba mempengaruhi pemilihan kali ini.

“Kita dengan penuh yakin menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan MIC bagi menyelesaikan masalah itu dan menjadikan MIC parti dokongan masyarakat India terutama untuk kepentingan sosiopolitik kaum itu di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-225 dan Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Penjara di Pusat Latihan Pegawai Penjara di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata kementeriannya menaruh kepercayaan kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan khidmat bakti dengan mengawal dan memulihkan banduan di negara ini.

Katanya, ia boleh dilihat melalui kadar residivis (kemasukan berulang) bekas banduan yang dicatatkan di bawah paras sembilan peratus iaitu merupakan pencapaian positif dan yang terbaik di peringkat Asia.

“Pencapaian ini adalah disebabkan modul pemulihan dan skema latihan yang dipinda bagi melakukan pemulihan ke atas penghuni penjara.

“Kami juga berbangga kerana penjara dari luar negara mula mempelajari sistem pemulihan yang digunakan di negara ini, malah ada antara mereka yang telah mengguna pakai modul pemulihan Jabatan Penjara Malaysia untuk diaplikasi dalam pemulihan banduan di negara mereka,” katanya.

http://m.www.astroawani.com/berita-malaysia/pdrm-dan-universiti-jalin-kerjasama-bendung-penglibatan-penuntut-dalam-ahmad-zahid-55995

Leave a comment

Filed under Isu Semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s