Video : Polis @PDRMsia Hargai Keberanian Lans Koperal Mohd Azuan @kbab51 @Kdnputrajaya

Mohd Azuan Contoh Pengorbanan, Manifestasi Keprihatinan Polis – Ahmad Zahid

IPOH, 26 Mei (Bernama) – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejadian menimpa Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, yang maut dirempuh kenderaan suspek samun di Selama, adalah contoh pengorbanan dan manifestasi keprihatinan polis demi menjaga keselamatan orang ramai.Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai jasa Allahyarham dalam membanteras jenayah sehingga tergadai nyawa.

“Kita mahu masyarakat tahu bahawa tugas polis terus untuk membanteras jenayah dan ia adalah satu pengorbanan yang menggadaikan nyawa,” katanya kepada pemberita selepas menziarah jenazah Mohd Azuan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Isnin.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat dan pejuang hak asasi manusia perlu prihatin bahawa pengorbanan yang dilakukan PDRM dalam membanteras jenayah tiada akhirnya.

Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Mat Fauzi Nayan.

Dalam kejadian pukul 1.15 petang, Mohd Azuan bersama anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian maut manakala rakan setugasnya cedera parah dirempuh kereta dinaiki penjenayah, yang terlibat dalam satu kes samun, di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar.

Ahmad Zahid berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang kampungnya di Kulai, Johor.

Mengulas insiden kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish ditemui terbakar di kawasan kebun pisang antara Lunas dan Ara Kuda di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Siasatan akan terus dijalankan dan operasional serta maklumat akan dimaklumkan oleh ketua polis negeri atau pegawai lain yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham yang diwakili Mat Fauzi.

Di KULAIJAYA, Johor, Abdullah Mahmood, 49, berkata anaknya itu amat meminati kerjaya polis sejak kecil dan sentiasa bersemangat ketika bertugas.

Beliau berkata Mohd Azuan, 25, sering menceritakan pengalaman pahit dan manis kerjayanya sebaik tamat menjalani latihan sehinggalah ditugaskan di Balai Polis Batu Kurau.

“Dia ada cakap dengan saya kerjanya sepanjang lima tahun ini kadangkala seronok dan kadangkala sedih tetapi sebagai bapa, saya sentiasa menasihatinya supaya bekerja bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam tugasan yang dilakukan,” kata beliau kepada pemberita di rumahnya di Taman Scientex di sini.

Abdullah, yang masih terkejut dengan kejadian itu, berkata kali terakhir beliau berbual dengan anak ketiganya itu ialah menerusi telefon pada 16 Mei lepas.

Katanya, selain berkomunikasi menerusi telefon, beliau sentiasa mengikuti perkembangan harian Mohd Azuan menerusi laman sosial Facebook.

Abdullah berkata beliau dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Mohd Azuan tengah hari tadi oleh anak perempuannya sebelum menerima maklumat sahih daripada PDRM dan rakan Allahyarham.

“Hari ini merupakan hari terakhir Mohd Azuan bekerja sebelum bercuti untuk majlis pernikahan 28 Mei ini dan majlis resepsi pada 1 Jun.

“Mengikut rancangan, Mohd Azuan tidak pulang ke Johor dan terus menunggu rombongan kami yang akan tiba di Kedah dengan menaiki bas untuk majlis perkahwinan itu,” katanya sambil menambah majlis sambut menantu di Johor dirancang diadakan selepas Aidilfitri.

Abdullah berkata beliau redha dengan kejadian itu dan berharap pihak polis segera menahan suspek yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau berkata jenazah Mohd Azuan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 22, Kulaijaya, esok.

— BERNAMA

Leave a comment

Filed under Isu Semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s