Ucapan Saya Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab

Yang Dikasihi
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Bin Yaakob,
Yang Di-Pertua Negeri Melaka

Yang Amat Berbahagia,
Toh Puan Datuk Seri Utama Dato’ Zurina Bte Kassim,

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Bin Yaakob, Yang Di-Pertua Negeri Melaka dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Dato’ Zurina Bte Kassim, di atas kesudian untuk menghadiri Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, Melaka.

2. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan merupakan tanda sokongan yang padu kepada pembangunan pendidikan agama tahfiz Al-Quran di negeri Melaka.

Tuan Yang Terutama Tun, izinkan saya berucap kepada para hadirin yang hadir pada majlis ini.

SALUTASI

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir Idris bin Haron
Ketua Menteri Melaka, dan

Yang Berbahagia Datin Seri Fadilah binti Abdullah

Yang Berhormat Datuk Wira Hj. Naim bin Abu Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ; dan
Yang Berbahagia Datin Wira Rafeah Hanim binti Johari

Barisan Exco-Exco Kerajaan Negeri Melaka

Para Murabbi dan Tenaga Pengajar Sekolah Imtiyaz Ulul Albab Melaka

Seterusnya saudara dan saudari sekalian.

1. ​Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka pada hari ini kita dapat sama-sama meluangkan masa untuk berhimpun di sini sempena meraikan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, Melaka.

2.​Saya yakin dan percaya bahawa semua yang berada di sini ingin melihat perkembangan dan progress pendidikan para pelajar ke arah yang lebih positif dan lebih baik.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

3. ​Pendidikan merupakan sebahagian daripada hak asasi setiap insan. Ibu bapa pula memainkan peranan penting untuk membuat pilihan bagi menentukan corak dan jenis persekolahan yang hendak diberikan kepada anak-anak. Berhubung perkara ini, sebagai seorang muslim, kita semestinya yakin dan percaya bahawa pendidikan agama adalah tunggak kepada kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

4.​Dalam Islam, tujuan memperolehi ilmu bukan terbatas kepada kemajuan kehidupan di dunia sahaja, akan tetapi mencakupi alam selepas kehidupan dunia iaitu akhirat. Dalam erti kata lain, ilmu yang dicari itu bukan sahaja dapat memberikan kebahagiaan di dunia tetapi juga di akhirat.

5. Firman Allah : “Ada di antara manusia yang (berdoa dengan ) berkata : Wahai Tuhan Kami, berikanlah kepada kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

6. ​Sekolah Imtiyaz Ulul Albab ini membentuk para pelajar yang seimbang dan holistik antara tuntutan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Imtiyaz komited untuk melahirkan golongan Ulul Albab iaitu profesional Hafiz yang akan menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 100 :

Katakanlah Wahai Muhammad : Tidak sama yang buruk dengan yang baik walaupun jumlah yang buruk itu telah mengagumkan engkau.Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya.

7.​Perkataan Ulul Albab disebut di dalam Al-Quran sebanyak 16 kali. Ahli Tafsir sepakat menyatakan perkataan Ulul Albab merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat dan seimbang antara dunia dan akhirat.

8.​Begitulah nama yang tepat telah diberikan kepada Sekolah Imtiyaz Ulul Albab Melaka sejajar dengan konsep dan falsafah pendidikannya untuk melahirkan insan kamil dan seimbang dunia dan akhirat.

Hadirin dan hadirat sekalian.

9. Merujuk kepada sirah nabawiyyah, pendidikan ummah dimulakan dengan aqidah dan akhlak sehinggakan Baginda S.A.W dapat membentuk suatu generasi hijrah yang kental semangatnya, beretika dan penuh ketaqwaan serta mampu mengharungi apa jua cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

10.​Panduan dan pedoman yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W ini tidak akan sesekali diabaikan oleh sistem pendidikan agama di negara kita. Adalah menjadi matlamat pendidikan Islam untuk membentuk sahsiah pelajar yang baik sehingga dapat menilai antara yang baik dan yang buruk, antara yang benar dan yang batil, antara yang mulia dan yang keji. Menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapatkan sijil atau ijazah semata-mata, akan tetapi untuk difahami dan dihayati dalam kehidupan.

11. Dalam keadaan dunia hari ini yang penuh bercelaru dan menghadapi krisis nilai dan akhlakyang meruncing, kerajaan sedar bahawa langkah segera dan lebih proaktif hendaklah diambil untuk memberi penekanan kepada pendidikan agama kerana ia membawa impak yang lebih besar kepada pembangunan modal insan.

12.​Manusia yang mesti kita bangunkan pada hari ini ialah manusia yang tidak melupakan PenciptaNya dan tidak terpengaruh serta terpesona dengan keindahan dunia. Ilmuan yang ingin kita lahirkan ialah ilmuan yang sentiasa mengingati Allah di mana sahaja mereka berada dan tidak ghairah serta tidak bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi kepentingan diri sendiri.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

13.​Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan yang telah banyak membantu dari aspek prasarana dan infrustruktur pembinaan Sekolah Imtiyaz Ulul Albab Melaka ini. Berkat bantuan kerajaan, cita-cita saya bersama guru-gurudan ibu-bapa akhirnya menjadi kenyataan.

14.​Sejarah ringkas sekolah ini adalah bermula dari Maahad Tahfiz yang diberi nama Maahad Abdul Fatah Wa Abdul Jalil Thafizul Quran Lil Banat. Pada ketika itu, fasiliti sekolah masih belum lengkapsepenuhnya. Namun, hasil bantuan dan dana kerajaan, prasarana dan fasiliti sekolah menjadibertambah baik dan tersergam indah.

15.​Setakat ini, perkembangan Sekolah MenengahImtiaz Ulul Albab Melaka telah pun menjalin hubungan“perkongsian pintar” dengan pusat pengajian luar negara. Tujuan utama jalinan kerjasama ini adalah untuk memberi pendedahandan nilai tambah kepada warga sekolah.

16.​Untuk makluman semua,pihak sekolah telah menandatangani memorandum persefahaman dengan pihak HELP Institute.

17.​Hasil daripada MOU tersebut pihak HELPInstitute telah berjanji untuk menyediakan khidmat tenaga pengajar yang mahir untuk mempersiapkanpara pelajar terhadap cabaran dunia luar.

18.​Selain itu, pihak sekolah juga telah mengadakan MOU bersama Pesantren Al-Fatah Lampung dan pihak Pesantren telah menghantar 3 orang Guru Al-Qurannya ke SM Imtiaz Melaka untuk memperkenalkan modul hafazan Al-Quran mereka kepada sekolah ini dan hasilnya, Sekolah Menengah Imtiyaz Ulul Albab menjadi sekolah pertama di Malaysia yang berjaya melahirkan 21 orang pelajar yang Hafiz dalam tempoh 3 bulan.Tahniah saya ucapkan kepada para para guru dan pelajar.

Hadirin dan hadirat Sekalian.

19. ​Adalah menjadi harapan besar bagi saya dan para pemimpin yang lain untuk melihat sekolah ini menjadi pusat kecemerlangan ilmu di dunia dan akhirat. Insyallah,semoga generasi yang lahir dari sekolah ini adalah generasi Ulul Albab bergelar Doktor Al-Hafiz, Jurutera Al-Hafiz dan Profesional-Profesional Al-Hafiz.

20. ​Saya juga berharap suatu hari nanti Sekolah Imtiyaz Ulul Albab Melaka ini akan menjadi model ikon untuk negara-negara Islam lain yang dikagumi di peringkat global.

PENUTUP

Tuan Yang Terutama Tun

21.​Demikianlah ucapan saya kepada hadirin yang hadir pada hari ini. Sekali lagi saya bagi pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan menghadiri Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah Melaka ini.

22.​Didoakan semoga Tuan Yang Terutama Tundan Yang Amat Bahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera,dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki setiap masa.

Sekian, terima kasih.

Leave a comment

Filed under Isu Semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s