Siasatan bagaimanapun tidak dilakukan terhadap kakitangan DCA berkenaan, jelas beliau.
“Ia bukan siasat tetapi pihak polis mencari maklumat. Saya kena membetulkannya.
“Persepsi siasatan itu tidak dilakukan terhadap pegawai DCA tetapi untuk memperoleh maklumat. Polis perlu menemu bual semua pihak yang boleh memberikan maklumat tambahan kepada siasatan yang sedang dilakukan,” kata beliau.
Semalam, laporan berita menyebut 40 kakitangan DCA yang bertugas sejak hari kejadian pada 8 Mac itu disiasat polis berhubung kehilangan pesawat MH370.
Ahmad Zahid berkata berikutan penjelasan itu, media tempatan dan media luar negara akan mengetahui prosedur perolehan maklumat yang dijalankan polis.
“Saya tidak mahu adanya pandangan yang serong terhadap kakitangan-kakitangan DCA kerana tujuan polis adalah baik untuk mendapat maklumat tambahan sahaja,” kata beliau.
Ketika ditanya sama ada agensi-agensi lain yang berkaitan akan turut dipanggil untuk membantu siasatan, beliau berkata ini bergantung kepada maklumat yang diperoleh polis.
“Tentunya secara operasi, mereka akan membantu siasatan supaya maklumat-maklumat tambahan ini dapat memperkukuhkan hasil siasatan sekali gus membantu mencari punca kehilangan pesawat MH370,” kata beliau.
Terdahulu, Ahmad Zahid melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini.