Ambil lebih ramai amah Kemboja

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang

dn_10.1.jpg

AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan buku bertajuk Lontaran Kata Zahid Hamidi kepada Othman Hassan di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 28 Okt. – Lebih ramai pembantu rumah warga Kemboja akan diambil bekerja di negara ini selepas kedua-dua negara bersetuju memeterai perjanjian pengambilan pekerja asing dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Othman Hassan berhubung isu tersebut hari ini.

Katanya, dalam perbincangan itu kedua-dua pihak bersetuju supaya semua pembantu rumah diberikan latihan khas di Kemboja sebelum dibawa masuk untuk bekerja.

“Pihak Kemboja bersetuju mewujudkan pusat latihan bagi pekerja mereka mempelajari bahasa dan budaya Malaysia agar dapat berkomunikasi dengan majikan serta memahami latar belakang masyarakat di sini.

“Selain itu, mereka juga akan diajar budaya kerja di sini terutama apa yang boleh dilakukan dan dilarang,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Othman di pejabatnya di sini.

Kerajaan Kemboja pada Oktober 2011 mengeluarkan arahan membekukan penghantaran rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia ekoran beberapa laporan rakyatnya tidak mendapat layanan baik daripada majikan.

Sebelumnya, Indonesia turut melaksana pembekuan sementara amah pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian serupa.

Walau bagaimanapun, pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya menjangkakan sebanyak 1,000 pembantu rumah dari negara itu akan dibawa masuk ke Malaysia setiap bulan bergantung kepada permintaan.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia juga bersetuju menawarkan kepakaran dalam bidang kepolisan dan imigresen bagi membantu negara tersebut.

Katanya, beberapa pegawai kanan dalam kedua-dua jabatan itu akan dihantar untuk mendapatkan latihan dan mempelajari sistem terkini yang diguna pakai.

“Di Kemboja hanya terdapat tiga pejabat imigresen yang mengeluarkan pasport antarabangsa untuk rakyat mereka, sehubungan itu, kita akan beri latihan dan menempatkan pegawai mereka di pejabat imigresen di sini bagi mempelajari keberkesanan pengeluaran pasport Malaysia.

“Dalam bidang kepolisan pula, mereka memerlukan sistem yang lebih canggih dan kita akan tawarkan latihan untuk pegawai kanan terutama berkaitan aspek pencegahan dan pembanterasan jenayah,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai bantuan mikro kredit yang akan diberikan kepada penduduk miskin tegar dan berpendapatan rendah di sana bagi yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

Katanya, pihak Yayasan Al-Bukhari telah bersetuju memberi modal asas sebanyak RM3.13 juta bagi tujuan itu.

“Sebelum bantuan disalurkan kita mencadangkan supaya sebanyak 10 usahawan yang dipilih dilatih di sini sama ada menerusi bimbingan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) atau Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan cadangan itu akan dilakukan secepat mungkin selepas mendapat kelulusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dengan kerjasama Yayasan Restu juga bersetuju menghantar sebanyak 100,000 naskhah al-Quran dalam bahasa Khmer ke Kemboja sebelum Ramadan akan datang.

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131029/dn_10/Ambil-lebih-ramai–amah-Kemboja

Leave a comment

Filed under Isu Semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s