Tulisan Saya ‘Ketelusan SPR Rimaskan Pembangkang’ Di Utusan Malaysia Hari Ini

Ketelusan SPR rimaskan pembangkang

Datuk Seri Dr. Ahmad zahid Hamidi ialah Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan.
PARTI-PARTI politik semakin rancak menjelajah ke seluruh negara kerana bahang pilihan raya semakin dapat dirasakan kepanasannya.

Tumpuan kini ke arah menyediakan bilik-bilik gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Setiap PDM telah tersedia senarai nama pengundi mengikut lokaliti, iaitu senarai pengundi mengikut alamat kampung, kawasan perumahan atau alamat mengikut jalan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sibuk mengemaskinikan data pemilih yang telah dibersihkan bagi mengelak tuduhan terdapat ‘pengundi hantu’ yang kerap dilemparkan oleh pembangkang.

Dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, SPR telah dapat membersihkan semua nama pendaftar yang telah meninggal dunia atau yang mempunyai pertindahan nama.

Hakikatnya, benarkah wujud pengundi hantu sebagaimana yang dituduh oleh pembangkang?

Pelbagai transformasi telah dilakukan oleh SPR demi memuaskan hati pelbagai pihak, termasuk NGO yang telah beberapa kali mengadakan demonstrasi jalanan kerana mempertikaikan ketelusan SPR dan menuduh kerajaan campur tangan dalam menentukan peraturan-peraturan SPR yang dituduh berat sebelah.

SPR telah menganjurkan beberapa kali majlis taklimat dan dailog, termasuk mewujudkan jawatankuasa peringkat Parlimen dengan mengundang semua parti politik untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Namun usaha murni yang dilakukan oleh SPR tetap tidak sunyi daripada terus dipertikaikan, walaupun kebanyakan tuntutan transformasi yang dikemukakan oleh pembangkang telah dipenuhi.

Pembangkang turut menyarankan diwujudkan badan pemantauan antarabangsa bagi menentukan ketelusan proses pilihan raya. SPR sebaliknya telah menyarankan agar badan-badan NGO dalam negara dilibatkan sewaktu tempoh berkempen dan pada hari pembuangan undi.

Soalnya, apakah perlu badan pemantauan antarabangsa diwujudkan?

Badan-badan antarabangsa mungkin lebih munasabah dijemput untuk menjadi pemerhati dan bukan pemantau untuk memerhatikan perjalanan sepanjang kempen dan ketika proses pembuangan undi dilaksanakan.

Sistem demokrasi di Malaysia seharusnya mengikut acuan negara ini. Setiap negara mempunyai acuan politik yang disesuaikan dengan situasi dan kehendak rakyat negara berkenaan.

Tidak mungkin terdapat negara luar mengikut acuan sistem politik di Malaysia seratus peratus. Begitulah juga sebaliknya. Kerana sistem demokrasi amat luas pengertiannya.

Namun secara holistik, sistem demokrasi tercipta daripada hasrat untuk memberikan suara kepada rakyat bagi memilih kerajaan. Suara majoriti menjadi asas kepada sistem demokrasi di setiap negara yang demokratik sistem politiknya.

Mana mungkin SPR tidak telus dan menyebelahi pihak Kerajaan Pusat yang memerintah, jika dalam PRU Ke-12, Barisan Nasional telah kecundang dan kehilangan lima negeri; Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Pembangkang amat teruja dengan kemenangan mereka yang amat luar biasa dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia. Sebenarnya mereka juga tidak menyangka kejayaan yang dicapai begitu memberangsangkan.

Kini mereka bercita-cita pula untuk menawan Putrajaya, biarpun mereka pernah berhasrat untuk melelong Putrajaya jika mereka memerintah negara ini. Nauzubillah.

Benarkah mereka mampu untuk menterjemahkan cita-cita menuju ke Putrajaya?

Terdapat dua kemungkinan. Pertamanya, jika pembangkang gagal merealisasi cita-cita serakah mereka, tentu sekali lagi mereka akan menuduh SPR tidak telus dalam melaksanakan amanah dalam pelaksaan sistem demokrasi di negara ini.

Keduanya, jika mereka berjaya sekalipun, adakah mereka mempunyai keberanian untuk merubah sistem dan peraturan SPR yang sedia ada dengan benar-benar telus sebagaimana yang mereka tuntut?

Lihatlah di negeri-negeri yang mereka kuasai, adakah mereka telah melakukan sistem dan peraturan yang lebih baik, telus dan adil sepenuhnya berbanding dengan ketika Barisan Nasional mentadbir negeri-negeri berkenaan?

Jika ketelusan yang mereka harapkan daripada SPR, bagaimanakah mereka melaksanakan ketelusan dalam sistem pemberian tender dan penganugerahan pasir dan tanah di Selangor atau di Kelantan? Mengapa kawasan hutan yang selama ini menjadi kawasan tadahan air telah digondolkan dan merosakkan eko-sistem sebagaimana yang berlaku di Empangan Pedu, Kedah?

Sememangnya menjadi lumrah politik, sebelum kuasa berada di tangan, mereka menghamburkan pelbagai taburan janji yang muluk-muluk kepada pengundi dengan janji mahu menghadiahkan bulan dan bintang, malah syurga kepada pengundi yang menyokong mereka.

Sekali lagi, SPR hanya dijadikan kambing hitam, jika mereka gagal mencapai nafsu serakah politik mereka.

SPR telah menyediakan tataetika pilihan raya sebagaimana tercatat melalui buku kecil Tataetika Pilihan Raya yang bertujuan untuk menyemai semangat dan sikap serta tatalaku yang terbaik dalam kalangan semua mereka yang terlibat semasa pilihan raya.

Dalam usaha SPR untuk mewujudkan pilihan raya yang berintegriti, tataetika yang digaris dengan pelbagai panduan dan peraturan telah disediakan untuk dijadikan rujukan umum, khususnya pihak-pihak yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

Melalui pendekatan mikro, SPR umpamanya telah menentukan, perarakan calon dan penyokong-penyokongnya ke pusat penamaan calon tidak digalakkan. Bagaimanapun, jika perarakan perlu juga diadakan, maka pihak penganjurnya hendaklah mematuhi peraturan, prosedur dan arahan oleh SPR dan pihak polis.

Peraturan tidak membenarkan penganjur mengadakan ucapan atau ceramah semasa berarak atau berkumpul. Mereka juga tidak boleh mengunakan alat muzik atau pembesar suara.

Turut dilarang, penyokong tidak memasuki sempadan dalam jarak 50 meter atau dalam mana-mana jarak kawasan dari pusat penamaan calon tertentu. Hanya calon, pencadang dan penyokong penamaan calon serta mana-mana orang lain yang diberi kebenaran.

Tataetika juga turut menggariskan tatalaku ketika hari pengundian, di mana parti- parti politik dilarang daripada menggunakan ‘barung panas’ untuk merayu undi atau menyemak nama pemilih di sekitar kawasan pusat mengundi.

Peraturan telah menentukan, tidak dengan apa cara jua pun anggota parti-parti politik boleh menghalang, menggalang, mengugut atau menakut-nakutkan pemilih daripada datang mengundi.

Turut disentuh termasuk tatalaku ketika pengiraan dan penjumlahan rasmi undi, di mana calon dan ejen pilihan raya diminta untuk memastikan agar petugas-petugas parti politik hadir pada masa yang ditetapkan di tempat pengiraan undi atau pusat penjumlahan rasmi undi agar tidak timbul dakwaan ketidak-telusan dan penyelewengan.

Malah calon yang bertanding atau ejen pilihan raya yang berkenaan diminta dan sewajarnya hadir semasa penjumlahan rasmi undi dan pengisytiharan keputusan pilihan raya.

Jelas sekali transformasi yang telah diperkenalkan merupakan suatu tindakan proaktif oleh SPR termasuk menentukan pengundian awal bagi anggota tentera, polis dan keluarga dan tidak lagi mengunakan kaedah undi pos.

Sewaktu pengundian dilakukan, wakil- wakil calon turut menyaksikan dan berada di tempat pengundian bagi mengelakkan tuduhan oleh pembangkang, kononnya pengundian dilakukan oleh pegawai atasan.

SPR juga telah memberi peluang kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi dan berkelayakan untuk menjadi pengundi, walaupun mereka berada di luar negara. Namun berapa ramaikah kalangan mereka yang telah berbuat demikian?

Desakan penggunaan dakwat sebagai tanda kepada pengundi yang telah membuang undi turut dilayani oleh SPR, biarpun kaedah sedemikian hanya digunakan oleh negara-negara yang sedang membangun. Sedangkan Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju.

Pelbagai transformasi telah dilaksanakan oleh SPR, semata-mata bagi memenuhi permintaan pembangkang.

Ada kemungkinan permintaan pembangkang yang mendesak SPR melakukan pelbagai perubahan dalam kaedah dan peraturan pilihan raya demi melayani selera mereka, kerana pembangkang semakin terdesak dan menyedari kemerosotan pengaruh mereka dalam kalangan rakyat.

Rakyat semakin sedar dan mulai merasakan janji-janji pembangkang banyak yang tidak ditepati berbanding dengan janji Barisan Nasional yang ditepati.

Malah banyak perkara yang tidak dijanjikan pun dalam PRU-12 telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional sesuai dengan program transformasi yang digagaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang Perdana Menteri yang prihatin kepada keperluan rakyat.

Langkah-langkah melaksanakan ketelusan sebagaimana yang dilakukan oleh SPR semakin merimaskan pembangkang.

Pembangkang harus mengakui hakikat, SPR merupakan sebuah badan bebas telah melakukan sebaik mungkin semua langkah transformasi sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat yang semakin terdedah dengan maklumat-maklumat yang mudah diperolehi hanya di hujung jari,

Semoga transformasi berterusan akan dapat dilakukan oleh SPR bagi mempertingkatkan kredibiliti sebagai sebuah badan bebas bagi menterjemahkan makna demokrasi mengikut acuan Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130211/px_01/Ketelusan-SPR-rimaskan-pembangkang#ixzz2KZwEQ11m
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 Comment

Filed under Tulisan Saya

One response to “Tulisan Saya ‘Ketelusan SPR Rimaskan Pembangkang’ Di Utusan Malaysia Hari Ini

  1. Alhamdulillah dan tahniah DSAH dgn paparan nukilan di Utusan hari ini. Saya amat bersetuju dan tempelak kepada Pembangkang amat sinis dan jika mrk masih tak sedar diri, bermakna bahawa mrk ini adalah boleh dikatogerikan pombohongan politik atau lebih enak klu kita gelar mrk “pelacur politik”. Mrk gemar membuat adaptasi bhw mrk shj yg benar dan apa yg dilaksanakan BN tidak relevan dan unproductive. Itu lah hakikat wajah sebenar pakatan rakyat.

    Mari kita bandingkan apa yg telah mrk laung2kan selama ini seperti di Manifesto PRU 12 yg lepas? Adakah benar2 dilaksana ataupun sekadar gimik politik dan menipu rakyat agar menyokong mrk. Bagi saya, Pakatan Rakyat adalah satu pakatan yg durjana, pandai berjanji namun tidak menepati apa yg telah dijanjikan, mrk gemar menjanjikan bulan dan bintang dan akhirnya rakyat tertipu. Satu kerugian kpd rakya tdi Negeri dibawah pemerintahan mereka krn hampir 80% janji2 tersebut tidak dapat dilaksanakan.

    Realitinya, bukan mudah untuk memerintah Negara yg punyai rakyat yg melebihi 28 juta dgn berbagai kaum dan ragam kehidupan…. Adakah kita dapat nak mengubah dan memberikan kepuasan kepada semua dalam 1 penggal? PR mmg tidak berkemampuan dan berhentikan menyokong dan meberi undi pada PR. Kenapa mahu mengubah Kerjaan yg sudah terbukti dan jelas prinsipnya yg amat berterusan membela rakyat. Lihat segala dasar dan program pembangunan Negara, semua menjurus kapada kesejahteraan rakyat. Ingat BN telah memerintah lebih 50 tahun, namun BN belum dapat untuk memenuhi kehendak dan tuntutan semua rakyatnya. Namun BN amat beristiqomah dan terus terusan dgn berbagai program2 penambahbaikan kehidupan rakyat disepanjang pembentangan Buget Negara. Rakyat sentiasa dihati rakyat krn itu amanah yng dipertanggungjawabkan oleh Allah. Dan, alhamdulillah Pemerintah Malaysia adalah seorang Islam dan Negara juga menjurus kepada Negara berteraskna Islam, sudah menjadi pimpinan yang berlandaskan tuntutan Alquran & Hadith. Natijahnya, pimpinan Negara dan Kerjaan BN amat wajar untuk terus diberikan mandat yang majoriti tanpa ada rasa prejudise dengan terhadapnya. Sejarah Kejayaan Malaysia sehingga hari ini, itulah rekod terbaik yang Kerjaan BN boleh berikan dan telah pun diperakui oleh Dunia keseluruhannya dan diterima pakai untuk dicontohi dibeberapa Negara lain…. Itulah kenyataan yg Hakiki.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s